|
6060
Oleh Khairuddin Md. Amin (Wartawan Utusan)
KERUGIAN sebelum cukai Malaysia Airline System Bhd. (MAS) sebanyak RM274.83 juta bagi tempoh tiga bulan antara April hingga Jun lalu, bukan sahaja besar tetapi ia tidak dapat diterima oleh mana-mana pihak.
Barangkali ramai yang mahu mengatakan prestasi kewangan itu adalah sesuatu yang `memalukan' namun ungkapan seumpama itu tidak keluar daripada mana-mana pihak.
Malah tiada teguran dan amaran berhubungan hal-hal kewangan diberikan dalam tempoh tiga bulan itu walaupun umum mengetahui bahawa harga minyak semakin meningkat dari sehari ke sehari.
Seperti biasa, teguran hanya diberikan selepas sesuatu perkara itu berlaku dan dalam kes MAS ia datang daripada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy yang tidak berpuas hati dengan prestasi kewangan syarikat penerbangan kebangsaan itu, dua hari selepas keputusan kewangan diumumkan, bukan dua bulan sebelumnya.
Adakah masyarakat kita begitu takut untuk bersuara dan sekiranya ditegur, adakah MAS bersedia untuk mengambil kira pandangan yang dikemukakannya itu?
Teguran tidak sepatutnya datang daripada Menteri Pengangkutan sahaja tetapi ia juga perlu datang daripada pelbagai pihak seperti orang awam, tokoh korporat, penganalisis ekonomi dan mungkin juga daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC).
Apa yang menghairankan, PAC yang lantang bersuara tentang kegagalan PSC-Naval Dockyard Sdn. Bhd. (PSC-NDSB) dan permit import (AP) kenderaan itu pun hanya selepas kedua-dua menjadi isu hangat, setakat ini hanya mendiamkan diri.
Keputusan kewangan yang buruk itu menyaksikan Pengarah Urusan MAS, Datuk Ahmad Fuaad Dahalan meletak jawatan pada hari yang sama walaupun syarikat itu tidak mahu mengaitkan tindakan itu dengan prestasi buruk MAS.
Tindakan melepaskan jawatan itu dilihat sama seperti yang berlaku dalam Thai Airways International PLC (Thai Airways) yang menggantung ketua eksekutifnya, Kanok Abhiradee berikutan kerugian besar dan masalah perakaunan yang tidak dapat dijelaskan pada suku ketiga, Jun lalu.
Berbeza dengan kes Thai Airways yang dilakukan secara tegas oleh Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang mengumumkan perkara itu sendiri, kes Ahmad Fuaad pula dilakukan dengan permohonan yang dilakukannya seminggu sebelum pengumuman prestasi kewangan.
Amaran
Malah tiga bulan sebelum itu, Thaksin seakan-akan memberi amaran kepada pengurusan Thai Airways. Beliau menggunakan perkataan sucks untuk menggambarkan pengurusan syarikat penerbangan kebangsaan Thailand itu.
Kini persoalannya, apakah dengan peletakan jawatan Ahmad Fuaad, MAS akan menjanjikan prestasi kewangan yang berubah positif pada masa depan?
Ada yang berpendapat, MAS memerlukan lebih daripada itu dan sebagai permulaan, sebuah badan bebas perlu diwujudkan bagi memantau perkembangan kewangan syarikat untuk jangka pendek.
``Mungkin pemantauan perlu dilakukan dua minggu sekali bagi melihat prestasi kewangannya,'' kata seorang pemerhati pasaran.
Adalah diperakui sebahagian besar daripada kerugian MAS dikaitkan dengan kenaikan harga bahan bakar tetapi syarikat penerbangan lain turut menghadapi masalah yang sama dan masih mampu mencatatkan keuntungan.
Walaupun mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 7.9 peratus namun Singapore Airlines Ltd. (SIA), syarikat yang berpangkalan di Singapura itu masih lagi mampu mengaut keuntungan sebanyak S$234.6 juta (RM528.9 juta) bagi suku pertama tahun ini.
Contoh terdekat pula ialah AirAsia Bhd. (AirAsia) yang akan mengumumkan keputusan kewangannya hari ini. Syarikat penerbangan tambang murah tempatan itu dijangka mencatatkan keuntungan bersih antara RM119 juta hingga RM130 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2005.
Perkara tersebut diakui sendiri oleh Pengerusi MAS, Datuk Munir Majid yang berkata, operasi perniagaan penerbangan yang dijalankan oleh syarikat itu tidak menguntungkan. Keuntungan sebelum ini pun disebabkan oleh pendapatan tidak berulang seperti penjualan pesawat.
Bagi mengatasi masalah kewangannya, MAS merangka program lima tahun dengan memberi tumpuan terhadap pengurangan kos bahan bakar dengan mengkaji semula dasar lindung nilainya sebanyak 80 peratus daripada keperluan selain melaksanakan rancangan pengurangan kos bahan bakar sebanyak 10 peratus.
Bagaimanapun, menurut para penganalisis, pencapaian matlamat itu bukannya sesuatu perkara yang mudah.
Menurut mereka, antara faktor yang membelenggu MAS kini ialah terdapat lebihan kakitangan yang menghalangnya daripada menjalankan perniagaan secara komersial sepenuhnya.
Bagi mengurangkan bebanan MAS, ada yang berpendapat sudah sampai masanya syarikat penerbangan kebangsaan itu melepaskan laluan domestik yang diuruskannya bagi pihak kerajaan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkhidmatan antarabangsa.
``Pesaing mereka adalah SIA dan bukannya AirAsia,'' kata seorang pemerhati pasaran yang merujuk kepada `persaingan' antara MAS dan AirAsia pada awal penubuhan syarikat tambang murah itu tiga tahun lalu.
Menurutnya, calon terbaik untuk mengambil alih laluan domestik itu ialah AirAsia. Bagaimanapun dari aspek komersial, syarikat tambang murah itu mungkin tidak mahu melakukan penerbangan di kawasan pedalaman yang menggunakan pesawat Fokker atau Twin Otter.
Penyelesaian
Kini AirAsia menggunakan pesawat B737-300 dan syarikat itu dijangka mula menukar kepada A320 bermula pada akhir tahun ini.
``Antara jalan keluar yang boleh dilakukan ialah sama ada memberikan hak penerbangan domestik sepenuhnya kepada AirAsia ataupun syarikat penerbangan lain.
``Bagi menyelesaikan masalah laluan pedalaman pula; berikan sahaja kepada mana-mana juruterbang.
``Mereka boleh mengendalikan laluan itu namun kerajaan perlu memberi subsidi,'' kata pemerhati pasaran itu lagi.
Walaupun kenyataan Kong Choy yang dikeluarkan kelmarin sudah agak terlewat dan tidak dapat mengubah kerugian MAS, pihak terbabit perlu memberi perhatian kepadanya yang menyatakan masih terdapat kelemahan dalam syarikat penerbangan tersebut. Ia menuntut satu pembaharuan dalam pengurusannya.
Kong Choy yang tidak berpuas hati juga berkata, beliau tidak gembira dan berharap agar pasukan baru boleh melihat kembali kelemahan yang ada dan seterusnya meningkatkan prestasi syarikat berkenaan.
Tidak jelas apa yang dimaksudkan oleh menteri itu mengenai `pasukan baru' - mungkin terdapat rombakan dalam MAS.
Sekiranya tindakan itu dilakukan untuk kebaikan, mengapa tidak?
|